Taiping, Perak, 10 Mei 2025 – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pengurusan Jurnal Ilmiah dan Penulisan Kreatif Berimpak JAWHAR 2025 pada 8 hingga 10 Mei 2025 bertempat di The Regency Hotel Seri Warisan, Taiping, Perak. Bengkel intensif selama tiga hari ini bertujuan memperkasa kefahaman dan kemahiran para peserta dalam bidang pengurusan jurnal ilmiah dan penulisan kreatif, terutamanya dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan artikel berkualiti tinggi.
Bengkel ini telah dirasmikan pada malam pertama oleh pihak pengurusan JAWHAR dan diteruskan dengan Sesi 1 bersama ahli Lembaga Editorial Penasihat, Jawatankuasa Penerbitan dan Sidang Redaksi yang dikendalikan oleh YBrs. Dr. Muhamad Hariz bin Muhamad Adnan. Sesi ini menumpukan kepada gaya penulisan yang efektif dalam menghasilkan artikel ilmiah serta teknik penulisan menggunakan AI.
Pada hari kedua, peserta mengikuti Sesi 2 yang membincangkan penulisan kreatif menggunakan AI untuk media seperti majalah dan akhbar. Program turut diserikan dengan sesi latihan dalam kumpulan, pembentangan, serta Sesi 3 mengenai teknik penulisan rencana yang disampaikan oleh YBrs. Prof Madya Dr. Shamsul Arrieya bin Ariffin.
Hari terakhir bengkel menyaksikan peserta menyertai pembentangan kumpulan, kuiz interaktif dan penyampaian hadiah, diakhiri dengan majlis penutup serta penyampaian cenderahati sebagai penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen SBU Meta Solutions UPSI dan JAWHAR dalam melahirkan penulis ilmiah dan kreatif yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga mampu memanfaatkan teknologi semasa untuk mempertingkatkan mutu penulisan dalam sektor awam.

















































































































