DESIGN THINKING UNTUK INOVASI PERKUKUH PENYELESAIAN MASALAH KOMUNITI

DESIGN THINKING UNTUK INOVASI PERKUKUH PENYELESAIAN MASALAH KOMUNITI

Tanjong Malim, 31 Julai 2025 – Program “Design Thinking Untuk Inovasi” telah berjaya dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif “AI Untuk Kita: Program Pemindahan Ilmu AI Kepada Komuniti Usahawan, Belia dan Pesara” yang diterajui oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) .

Program yang diselaraskan oleh Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan bersama Dr. Shamsul Arieyya ini memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran penyelesaian masalah secara sistematik dalam kalangan peserta komuniti. Sesi ini memfokuskan kepada pengenalan konsep design thinking, pemahaman terhadap isu komuniti, penjanaan idea serta pembentukan minda inovatif.

Sepanjang pelaksanaan program, peserta terlebih dahulu diperkenalkan kepada cabaran-cabaran lazim yang dihadapi oleh komuniti setempat. Fasilitator kemudiannya menerangkan elemen utama dalam pendekatan design thinking seperti empati terhadap pengguna, definisi masalah yang jelas, serta proses ideasi untuk menjana penyelesaian kreatif.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi membincangkan isu sebenar yang berlaku dalam komuniti masing-masing. Setiap kumpulan mengenal pasti keperluan pengguna dan merangka pernyataan masalah secara tersusun sebelum menjalani sesi ideasi berpandu untuk membangunkan cadangan penyelesaian yang praktikal.

Pembentangan idea oleh setiap kumpulan memberi ruang kepada pertukaran pandangan serta maklum balas konstruktif daripada fasilitator. Pendekatan interaktif ini bukan sahaja menggalakkan kolaborasi, malah membentuk keyakinan peserta dalam mengemukakan idea inovatif.

Hasil program menunjukkan peserta berjaya membangunkan kemahiran penyelesaian masalah secara berstruktur serta meningkatkan kesedaran terhadap proses inovasi. Beberapa cadangan penyelesaian praktikal turut dihasilkan bagi menangani isu sebenar komuniti.

Pelaksanaan program ini membuktikan bahawa pendekatan design thinking mampu menjadi pemangkin kepada budaya inovasi di peringkat akar umbi, sekali gus menyokong agenda transformasi digital dan pembangunan komuniti yang lebih mampan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *