Tanjong Malim, 27 September 2025 – Seramai peserta daripada Masjid Al-Ikhwan, Taman Bernam Baru telah menyertai Bengkel Media Kreatif (Canva AI) yang berlangsung di IKl, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai sebahagian daripada inisiatif “AI Untuk Kita: Program Pemindahan Ilmu AI Kepada Komuniti Usahawan, Belia dan Pesara” .
Bengkel yang diselaraskan oleh Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan itu menampilkan Dr. Mohd Hishamuddin Bin Abdur Rahman dan Dr. Yusri bin Abdullah sebagai tenaga pengajar. Program ini bertujuan memperkukuh kemahiran komunikasi digital komuniti melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuk grafik.
Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada kepentingan media digital dalam menyampaikan maklumat dan hebahan program komuniti secara lebih efektif dan profesional. Mereka turut diperkenalkan kepada platform Canva serta fungsi Canva AI yang menawarkan cadangan templat automatik dan ciri text-to-design bagi memudahkan proses penghasilan bahan visual.
Pelaksanaan bengkel dijalankan secara praktikal dan berperingkat. Peserta dibimbing untuk mendaftar dan mengakses platform Canva sebelum mengikuti demonstrasi penggunaan ciri-ciri AI dalam menghasilkan poster digital. Dengan sokongan fasilitator, setiap peserta berpeluang menghasilkan sekurang-kurangnya satu reka bentuk poster berkaitan aktiviti masjid dan komuniti secara kendiri.
Pendekatan latihan secara hands-on membolehkan peserta memahami aplikasi sebenar teknologi AI dalam konteks keperluan komuniti. Bantuan individu turut diberikan sepanjang sesi bagi memastikan peserta dapat menyesuaikan reka bentuk mengikut kreativiti dan kesesuaian program masing-masing.
Hasil daripada bengkel ini, peserta berjaya menguasai kemahiran asas penghasilan poster dan kandungan digital. Keyakinan mereka dalam menggunakan alat reka bentuk berasaskan AI turut meningkat. Lebih penting, bahan digital yang dihasilkan boleh digunakan semula untuk program-program komuniti akan datang, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan hebahan dan komunikasi masjid.
Inisiatif ini membuktikan bahawa pemindahan ilmu AI secara tersusun dan praktikal mampu memperkasa komuniti setempat dalam mendepani era digital, selaras dengan matlamat program untuk merapatkan jurang literasi teknologi dalam kalangan masyarakat.










